30 Mac 2009

Pemuda: Tugas di bahu anda!

Bismillahi La Quwwata Illa Billah!

Pemuda merupakan agen pemerkasaan umat di sepanjang zaman. Rakaman sejarah telah membuktikan peranan mereka merubah lanskap politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara. Nabi Muhammad SAW dibangkitkan bersama-sama para pemuda yg mewakafkan diri mereka untuk jalan kebaktian dan pengorbanan untuk meninggikan agama Allah SWT. Arqam bin Abi Arqam, Talhah bin Ubaidullah, Zubair al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Mus'ab bin Umair, Said bin Zaid dan sebagainya adalah di anrara contoh barisan pemuda yang merakamkan nama mereka dengan tinta emas dalam perjuangan Islam.


Revolusi Perancis, Revolusi Bolshevik (1917), peristiwa 4 Mei 1919 di Peking, Revolusi Iran (1979) dan gerakan Jihad Afghanistan (1979) adalah sebahagian daripada rakaman peristiwa revolusi sosial yang bertunjangkan kepada gerakan kepemudaan. Rejim-rejim tirani seperti Ruh Tea Woo di Taiwan, Marcos di Filipina, Suharto di Indonesia adalah contoh-contoh pemimpin zaiim yang tersungkur dan tersembam di tapak kaki anak-anak muda.

Cabaran getir ummah kini…

Tanpa prejudis, semua warga Malaysia akur bahawa dewasa kini amat subur dengan gejala maksiat dan kemungkaran yang dijaja atau ditaja secara lansung ataupun tidak lansung oleh pihak pemerintah. Mutakhir ini, kita melihat penularan sikap pemenntah negara yang tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam seperti membenarkan konsert Avril di Stadium Merdeka sebelum sambutan ramadhan yang lepas, Pesta maksiat First Moon Festival di sepanjang bulan ramadhan tahun 2006 yang berlokasikan di Jalan Bukit Bintang dan Rock Festival pada 20 Disember 2003 di tempat letak kereta KLCC yang mcnghimpunkan puluhan ribu anak muda pencandu musik rock negara ini yang bermula majlisnya pada jam 3 petang sehingga jam 3 pagi.

Itu hanyalah secebis gambaran..

Dan inilah sebenarnya cabaran getir yang berdepan dengan para pemuda yang masih ada kecintaan pada agama..

Apakah tindakan kita sebagai para pemuda mahupun pemudi yang menjadi tunjang terhadap perjuangan ini? Adakah kita hanya mampu melihat saja peristiwa-peristiwa ini berlaku dan berlalu tanpa melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh para pemuda yang mcmpunyai nilai-nilai Jundullah dan Hizbullah?

Ayuh! Sinergikan langkah ke arah kemenangan Islam;

1. Pemuda berkualiti dan independent

Pemuda umumnya perlulah mempunyai visi yang cemerlang serta kualiti yang tinggi. Pemuda perlulah mampu membangkitkan dan menggerakkan semua peringkat organisasi islam dengan meletakkan matlamat kemenangan Islam itu di hadapan.

Pemuda inilah yang apabila diletakkan suatu tugas dan tanggungjawab akan mampu mencernakan tugas dan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin atau apabila diletakkan di sesuatu tempat, akan menjadi seperti 'pokok-pokok' yang menjadi tempat berteduh orang-orang disekelilingnya.

2. Pemuda professional

Pemuda Islam perlulah professional di dalam menjalankan gerak kerja agama serta tidak menganggap kerja-kerja dakwah sebagai kerja sampingan. Pemuda-pemudi perlulah menjadikan organisasi-organisasi Islam yang disertai lebih tersusun, cekap dan mempunyai sistem yang teratur.

3. Pemuda perubah

Pemuda Islam perlulah memastikan manifesto dakwah Islam dapat dicapai. Seruan dakwah yang dibawa adalah gabungan atau jalinan di antara pembangunan material dan pembangunan insan yang melengkapi sebuah 'masyarakat Madani'. Adalah menjadi kewajipan para pemuda bahkan pemudi untuk turun bersama masyarakat, mendampingi golongan mat-mat motor, minah kilang, kutu rayau, mat dispatch dan semua golongan masyarakat supaya mereka ini sedar dengan suasana dan isu-isu umat Islam yang berlaku hari ini. Masyarakat yang terpinggir juga perlulah didekati dengan mengadakan program-program kebajikan seperti program kesihatan percuma, bantuan pendidikan dan sebagainya.

Biarlah penyertaan dakwah ini melibatkan semua lapisan masyarakat!

4. Pemuda bijaksana dan berilmu

Pemuda harapan ummah perlulah bijaksana dalam menguasai minda dan akar umbi masyarakat.

Budaya Majlis Ilmu dan Tazkirah umpamanya perlu dihidupkan di setiap tempat. Apa salahnya kita mengajak para mad’u ke ceramah-ceramah, mengadakan usrah-usrah, serta program-program dakwah dan penerangan bagi menjelaskan isu semasa yang menjadi kekeliruan dikalangan masyarakat. Di samping itu, kita haruslah menjadi Qudwah Hasanah di setiap peringkat supaya dakwah kita dapat dijalankan dengan mudah dan berkesan.


Harapan kita...

Pemuda dan pemudi belia harapan Ummah.. Kita perlulah menjadikan pemuda As-Habul Kahfi yang memangkin kepada perjuangan. Moga-moga, nilai-nilai 'Jailun Quranun Farid' yang dinyatakan oleh As-Syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam kitabnya Mu'allim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dapat diadaptasikan oleh para Pemuda seperti kita..

Insya Allah!

Satu Hati.. Satu Tekad.. Satu Matlamat..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan