26 Mei 2009

MPPB KML kali ini...

"Selamat tinggal KML", kata akhir yang tidak mampu saya lafazkan sejurus tamatnya Minggu Pengurusan Pelajar Baru sesi 2009/2010. Perkongsian pengalaman sejak lima tahun lepas mempertemukan saya dengan pelbagai karenah fasilitator dan pelajar baru yang menghuni sebahagian dari keluarga besar Kolej Matrikulasi Labuan.


Pelajar yang datang dengan matlamat yang jelas akan terus terpandu. Mereka yang pertama kali berpisah dengan keluarga akan mengambil masa membiasakan diri. Tidak kurangnya pelajar yang sudah terbiasa dengan kehidupan berasrama, matrikulasi adalah salah satu 'skrip' kehidupan yang tidak perlu dibimbangi.

10 bulan 'bermastautin'

Selangkah ke universiti tidaklah semudah ungkapannya. 10 bulan ini pelajar akan menguji kemampuan diri di samping teruji dengan kesibukan dengan perkara bermanfaat dan pastinya diuji dengan dengan sistem pembelajaran ala universiti yang masih lagi bersuapkan nota-nota pensyarah.

Ya. Seperti di sekolah menengah dulu. Cuma dibezakan dengan pengenalan sistem berorientasikan universiti.

Tiada lagi loceng rehat.

Tiada lagi siren membangunkan pelajar bersolat subuh.

Tiada lagi waktu 'prep' seperti di asrama.

Kebebasan diberikan sepenuhnya pada pelajar untuk mengatur masa untuk belajar, masa untuk makan dan masa untuk beriadah.

Pada masa yang sama jadual kuliah telah ditetapkan.

Pelbagai cerita menarik

"Saya ada kawan, dia mula belajar jam 4.30 petang hingga 12.00 malam tanpa henti. Selepas itu dia rehat 15 minit dan sambung belajar sehinggalah azan subuh. Lepas itu dia tidur sampai jam 7.00 pagi. Itulah rutinnya setiap hari. Bayangkan", kata saya sebagai mukadimah pertemuan alumni KML dengan pelajar perakaunan.

"Hasilnya dia memperoleh 3.9 untuk dua semester", tambah saya lagi menyebabkan pelajar baru berbisik antara satu sama lain.

Saya menyambung.

"Sahabat saya seorang lagi, dia akan pastikan setiap hari diperuntukkan paling kurang dua jam untuk belajar. Di samping itu dia aktif dengan bersukan, aktiviti surau dan sempat untuk bersosial dengan masyarakat", gambaran pada sahabat saya yang kedua.

"Jangan terkejut, dia memperoleh keputusan 4.0 untuk dua semester", menambah gamam mereka yang berada di dewan kuliah dua.

Saya membuat kesimpulan.

"Maka adik-adik sekalian, jangan lupa bahawa tidak semestinya berkepit dengan buku sahaja boleh memperoleh kejayaan besar. Dan yang sibuk berprogram juga tidak semestinya gagal dan kurang berjaya dari segi akademiknya", paradigma saya tujukan untuk pelajar-pelajar baru ini berfikir dan menterjemahkan sesuatu sesuai dengan diri mereka.

Maka mampu atau tidak mereka berhadapan dengan kehidupan di KML ini dipulangkan semula kepada mereka untuk mengatur jadual dan masa.

Selamat Tinggal KML


Saat ini saya mungkin boleh menarik lafaz lega sebentar. Walaupun belum ada sosok tubuh yang mampu menggantikan 'orang lama' dalam jawatankuasa fasilitator kali ini, saya yakin pasti akan ada yang mampu tampil membawa pendekatan yang lebih berkesan dalam menjadi role model bukan sahaja kepada fasilitator tetapi juga pelajar baru.

Saya masih tidak mampu untuk itu.

"Menjadi fasilitator tidaklah semudah yang disangka. Moga kita semua yang berada di sini juga memperoleh sesuatu. Jadilah seperti mana yang kita arahkan pada adik-adik baru ini. Bila kita menyuruh mereka menepati masa, maka apatah lagi kita dalam menepati masa", kata-kata perangsang kepada saya dan fasilitator yang lain.

Semoga orientasi kali ini terus memberi pengalaman yang berharga kepada saya dalam mencorak kehidupan sebagai pemudah cara dalam setiap program yang saya ikuti.

Kerana saya masih ingin menyumbang kepada pembangunan masyarakat madani...

Sedutan semula dari : www.kembara-budi.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan