14 April 2009

Surat Kiriman tak rasmi

Salam. Sudah tentu anda semua biasa mengarang surat tak rasmi satu ketika dulu. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia kepada zaman persekolahan yang sudah lama kita tinggalkan.
Surat kiriman tidak rasmi. Agaknya masih betul atau tak format karangan ni kan?


Taman Ilmu,
Bumi Tercinta,
Sarawak.


Assalamualaikum Warahmatullah.

Menemui adindaku dan kekandaku yang sekarang ini berada berserakan di tanahair tercinta, Borneo mahupun Semenanjung. Apa khabar kalian semua? Diharapkan agar semuanya sihat-sihat saja, tenang dalam kemanisan iman dan lembayung taqwa. Kekanda di sini pun sihat, alhamdulillah. Maklumlah, sudah beberapa penggal kita meninggalkan kolej kesayangan kita, lebih-lebih lagi komuniti Al-Irfaan yang menjadi medan kita beramal satu ketika dulu.

Adinda dan kekanda yang disayangi,

Tujuan kanda menulis surat ini ialah untuk mengucapkan selamat kepada semua adinda dan kekanda bersempena dengan peperiksaan semester yang masing-masing bakal, sedang dan telah pun hadapi ketika ini. Sememangnya fasa-fasa genting begini sangat memerlukan ketetapan hati dariNya untuk terus kekal teguh di saat semuanya dikatakan bergoncangan.

Kanda bukanlah selayaknya menasihati adinda dan kekanda yang lain, cuma kanda ingin menitipkan beberapa pesanan kepada saudara kesayangan kanda tanda ingatan dan penghargaan kepada kesemua yang telah bersusah payah memastikan ‘keluarga kita’ kekal bahagia dan dilimpahi rahmat-Nya.

Adinda dan kekanda yang dihormati,

Dalam kesibukan mengejar cita-cita dan menelaah pelajaran, ingatlah kita masih bergelar HAMBA-NYA. Justeru, janganlah kita berkira-kira untuk menunaikan kewajipan dan hak-hak beramal pada-Nya.

Dalam kesibukan kita, peliharalah hak sebagai seorang anak, abang, kakak, adik, sahabat, teman sebilik, sekuliah.

Dalam keletihan kita, jagalah hak badan kita untuk dipelihara kebersihannya,kesihatannya, makanannya, kerehatannya.

Dalam kerunsingan kita, janganlah lupa untuk bertenang kerana seorang muslim itu tenang dalam kesusahan, tidak terlalu gembira dengan kemenangan.

Sekiranya pesanan-pesanan di atas masih dirasakan tidak penting, marilah kita sama-sama merperhalusi maksud firman Allah ini :

Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak-disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. At-Talaq : 3

Bantuan Allah diberikan dari bucu yang tidak kita akan sangka. Maka kanda di sini ingin menyeru adinda dan kekanda semua untuk tunaikan tanggungjawab kita, maka Allah akan selesaikan bahagian yang lain.

Kanda tidak berniat untuk menulis panjang, dengan itu kanda sudahi dengan ucapan Selamat Maju Jaya, moga-moda adinda dan kekandaku semua masih tergolong dalam golongan yang bersyukur dan diberi pertolongan-Nya. Salam ‘alaikum warahmatullah. Hingga kita ketemu lagi.


Yang benar,
Kekandamu.

Macam mana panel pemeriksa, lepas tak format surat kiriman tak rasmi?

Tiada ulasan:

Catat Komen