15 Mei 2009

Muslimat dakwah - Senyumlah!

"Walau seteruk mana pun gigi kamu, kamu tetap kelihatan cantik bila senyum dan tertawa dengan penuh ikhlas."

Semasa penulis masih menuntut di kampus, terdapat satu fenomena yang kurang sihat. Fenomena ini sering kali menjadi barah dalam agenda dakwah di kampus. Secara tidak disengajakan, ia menyebabkan ramai pelajar wanita di kampus merasa tersisih dan bersalah.

Apa yang saya maksudkan adalah wujudnya 'klik' yang membentengi antara pelajar yang terlibat dengan gerakan dakwah kampus dan pelajar umum yang boleh dikatakan sebagai mad'u.

"Pelajar bertudung litup hanya berkawan dengan geng dia saja. Mereka tak campur dengan kita yang entah apa-apa ni," demikianlah antara rungutan dan luahan hati yang pernah saya dengar.

Ada juga sungutan yang kadang-kadang membuat saya tersenyum:"Muslimin yang baik-baik tu, nak cari muslimat yang baik-baik jer. Pastu sape nak ajar kita yang teruk ni?"

Mungkin ada sesuatu yang kita boleh pelajari di sini. Dan mungkin juga saya sendiri tergolong dalam kalangan mereka ni.

Muslimat dakwah...tunjukkan keramahan anda kepada mad'u muslimat. Ramai muslimat yang berada di kampus masih tidak tahu solat, tidak tahu istilah 'aurat'. Mereka menanti-nanti kedatangan kalian mengetuk pintu bilik mereka. Mereka menunggu kalian menegur mereka dengan ramah dan membetulkan kesilapan mereka.

Walau pada zahirnya mereka bersikap keras dan kadangkala menyakitkan hati, tapi jauh di sudut hati mereka juga inginkan kebaikan. Mereka turut dahagakan ketenangan.

Muslimat dakwah perlu bersikap ekstrovert dan ramah. Carilah wanita muslimah yang tidak tahu arah hidup. Peganglah mereka dan bimbinglah mereka bersama-sama kamu ke pondok ilmu.

Janganlah pandang mereka dengan buruk sangka, kerana mereka tidak tahu...kerana mereka tidak disimbah oleh nur al-Quran. Pandanglah mereka dengan pandangan kasih sayang kerana kita sendiri pun pernah melakukan kesilapan, namun kita masih mengharap Allah memandang kita dengan pandangan Rahmat dan kasih-sayangNya yang Maha Hebat.

Begitulah juga dengan mereka. Dekatilah mereka. Usahlah kita terlalu sibuk dengan mesyuarat dan projek-projek yang memungkinkan kita menjadi seorang 'Manager Dakwah', sampaikan lupa dengan tanggungjawab dakwah yang lebih utama.

Mulakanlah dengan senyuman ikhlas. Berlatihlah menayangkan senyuman paling manis, umpama senyuman sang pramugari...senyumlah dari hati hingga terzahir pada bibir dan mata, kerana sesungguhnya mata tidak pernah menipu.

[petikan daripada majalah I]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan